Punca Diabetes | Gagal Kawal Pemakanan Punca Ramai Diabetes

Bismillah. Aloe!

Kegagalan rakyat Malaysia mengawal pemakanan walaupun menyedari ia menjadi punca pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD), menyebabkan semakin ramai daripada mereka menghidapi diabetes.

Peratusan rakyat Malaysia yang menghidapi diabetes, satu daripada NCD, meningkat setiap tahun hingga membimbangkan Kementerian Kesihatan, kata Pengarah Bahagian Pemakanan kementerian itu Rokiah Don hari ini.

Beliau berkata, statistik Kajian Kesihatan dan Morboditi Kebangsaan (NHMS) mendapati bilangan pesakit diabetes berumur 18 tahun dan ke atas meningkat kepada 31 peratus tahun ini berbanding 15.2 peratus pada 2011.

Makanan Manis Punca Diabetes

“Kami bimbang kerana semakin ramai orang muda menghidapi diabetes sedangkan penyakit NCD ini dahulunya hanya dihidapi mereka yang lebih tua,” katanya semasa berucap pada seminar ‘Kesihatan dan Nutrisi: Penambahbaikan ialah Usaha Bersama’ anjuran Kumpulan Pengilang Makanan Malaysia dalam Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM-MAFMAG) di sini.

Turut hadir Pengerusi FMM-MAFMAG Adnan Pawanteh dan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee E-Siong. Seminar sehari itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran nutrisi dan kesihatan dalam kalangan pemain industri makanan.

Rokiah berkata, peningkatan peratusan pesakit diabetes juga berkait rapat dengan pertambahan individu yang menghadapi masalah obesiti.

“Ramai yang tidak sedar bahawa obesiti membawa risiko NCD lain seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi,” katanya.

Makanan Manis Punca Diabetes

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Unit Penyakit Kardiovaskular dan Diabetes, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Dr Feisul Idzwan Mustapha pula berkata, jika NCD tidak dikawal, ia boleh mengundang kematian pada usia muda selain menyebabkan ketidakupayaan kekal.

“Kematian pada usia muda dan ketidakupayaan kekal akhirnya membawa kepada kemerosotan hidup, menjejaskan produktiviti dan mengakibatkan kehilangan sumber tenaga manusia dan ekonomi dalam masyarakat dan negara,” katanya.

Justeru itu, katanya Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan kempen menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai NCD melalui promosi kesihatan dan pendidikan.

Antara penyakit NCD ialah sakit jantung, diabetes, obesiti, kanser, tekanan darah tinggi, angin ahmar, penyakit gangguan respiratori, kesan penyalahgunaan dadah, alkohol dan merokok.

Sumber: Bernama