Matlamat penciptaan manusia iaitu beribadah kepada Allah

Allah telah menciptakan manusia dengan matlamat tertentu. Ia telah dinyatakan dalam surah al-Zariyat ayat 56 di mana ayat ini menjelaskan matlamat penciptaan manusia iaitu beribadah kepada Allah.

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ibadah berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada Allah swt. Menurut istilah syarak ia bermaksud taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat.

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu: 
i) Ibadah khusus adalah merupakan sekumpulan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukun Islam dan rukun Iman seperti sembahyang, puasa, zakat, haji.
ii) Ibadah umum iaitu semua amalan dalam kehidupan seharian diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Ibadah merangkumi segenap pekerjaan dan urusan hidup kita setiap hari meskipun kita tidak duduk di masjid-masjid atau surau ketika membuat kerja-kerja itu. Semuanya dikira ibadah kepada Allah apabila mencukupi dua syarat iaitu:
i) niat kerana Allah.
ii) cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Selagi kita melaksanakan apa sahaja kerja dengan niat kerana Allah yang tidak haram menurut pandangan alam Islam, selagi itulah kerja-kerja kita dinamakan ibadah. Urusan pekerjaan tersebut akan dijadikan alat untuk menyempurnakan taat kita kepada Allah dan akan memudahkan kita menjadi khalifah Allah di muka bumi. Oleh itu apabila kita bekerja atau berniaga ianya juga merupakan ibadah kepada Allah, kerana kita mencari rezeki yang halal untuk melangsungkan kehidupan dan memenuhi segala keperluan keluarga dan tuntuan kehidupan. Bersenam untuk menguatkan jasmani dan memelihara kesihatan supaya mampu dan kuat melakukan ibadah khusus juga merupakan ibadah. Dunia menjadi tempat beribadah kepada Allah, yang padanya kita melaksanakan amal dan usaha dengan kemuliaan niat sebenar kerana Allah.

Syarat yang kedua, yakni segala usaha dan amal yang kita kerjakan itu mestilah sesuai dengan syariat Allah dan ajaran Islam. Sekiranya kita bekerja atau menjalankan bisnes, pastikan pekerjaan dan bisnes yang dilakukan selari dengan kehendak syarak dan seumpamanya, contoh produk yang dijual atau khidmat yang ditawarkan adalah yang halal, toyyiban dan dapat memberikan manfaat kepada orang ramai.

Jika amalan-amalan yang diharuskan oleh syarak tersebut dikerjakan tanpa diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah maka ia tidak menjadi ibadah malah menjadi satu adat kebiasaan sahaja dan tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala.

Kedua-dua ibadah khusus dan umum yang disebutkan tadi melengkapkan pergertian ibadah yang sebenar di dalam agama Islam dan menunjukkan bahawa ianya adalah agama yang syumul.

Forever Living Malaysia
INFO PRODUK? KEAHLIAN? PERTANYAAN?
HUBUNGI AZLINA +6019-7200 630


BOLEH JUGA ISI CONTACT FORM =>KLIK SINI